Tidak perlu bimbang keluar mengundi: Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR: Orang ramai tidak perlu bimbang untuk keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada PIlihan Raya Umum ke-15 (PRU15) esok, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (gambar).

Beliau berkata jaminan itu diberikan susulan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menugaskan 80,000 anggotanya selain menggerakkan semua elemen bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin terutama pada hari pengundian sehingga selepas PRU15.

“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mengancam ketenteraman awam terutamanya yang boleh menjejaskan proses pengundian esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang ingkar bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman masyarakat.

Acryl Sani turut menasihatkan semua pihak untuk tidak mengadakan perhimpunan di tempat terbuka atau perarakan bagi meraikan kemenangan selepas PRU15.

Selain itu, bagi memastikan kelancaran aliran trafik, Acryl Sani berkata pihaknya melaksanakan Op Lancar dengan memberi tumpuan di lokasi strategik yang dikenal pasti kerap berlaku kesesakan lalu lintas.-Bernama