Tiga daerah di Johor terima keutamaan projek RTB

BATU PAHAT: Kota Tinggi, Segamat dan Batu Pahat di Johor akan diberi keutamaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) kerana daerah berkenaan sering berisiko berlaku bencana banjir setiap kali hujan berterusan, kata Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata anggaran kos RTB di negeri itu boleh mencecah sehingga RM1 bilion susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya semua projek RTB berrnilai RM600 juta ke atas diluluskan dan disegerakan mulai Jun ini.

Anwar berkata demikian pada sidang media semasa melawat PPS Sekolah jenis Kebangsaan (SJKC) Kampung Tengah di Segamat, hari ini.

Onn Hafiz menzahirkan rasa syukur dengan pengumuman tersebut dan akan menyelesaikan isu tersebut dengan kadar segera.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan banjir (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sri Medan, di sini, hari ini.

Beliau turut melawat PPS SJKC Chong Hwa, Sri Medan, yang telah dinaiki air sejak dua hari lepas dan difahamkan, PPS tersebut akan ditutup sekiranya paras air semakin tinggi.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar berkata pihaknya melalui agensi yang berkaitan akan menyiasat mengenai dakwaan penduduk di Kuala Paya, Segamat, berhubung ban retak di Spang Loi, dekat sini sehingga menyebabkan air naik dengan cepat di kawasan itu.

Beliau berkata terdapat peruntukan RM5 juta bagi membaik pulih ban tersebut dengan proses tender akan selesai, bulan depan.

Januari tahun lalu, ban Spang Loi yang siap dibina pada 2019, pecah sehingga menyebabkan banjir di Kampung Spang Loi dan kampung sekitar ekoran limpahan air Sungai Muar.

Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan RM5 juta untuk menaik taraf ban di Kampung Spang Loi bagi menangani isu banjir di kawasan itu dan sekitarnya. – Bernama