Tiga termasuk dua remaja diberkas curi motosikal untuk bergaya pada Aidilfitri

ISKANDAR PUTERI: Tindakan tiga lelaki termasuk dua remaja sanggup mencuri motosikal jenis Honda EX5 untuk bergaya pada sambutan Aidilfitri membawa padah apabila berjaya ditahan di sekitar Kangkar Pulai, di sini, pada 1 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Rahmat Ariffin, berkata kesemua individu berusia 14,17 dan 21 tahun itu diberkas pada jam 7.50 malam susulan laporan kes kecurian motosikal di sebuah kawasan pangsapuri di Kangkar Pulai pada 18 April lalu.

“Hasil tangkapan kita berjaya merampas tiga buah motosikal jenis Honda EX5, namun hasil siasatan mendapati ketiga-tiga individu ini tidak mempunyai rekod lampau.

“Motosikal yang dicuri ini dipercayai adalah untuk kegunaan sendiri semasa perayaan Aidilfitri,“ katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata tiga suspek berkenaan bergiat aktif mencuri motosikal sejak bulan lalu terutama di kawasan pangsapuri dan masjid.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Rahmat berkata pihaknya menahan pasangan kekasih dan seorang lelaki kerana dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah dan kecurian kereta, Sabtu lalu.

Beliau berkata pasangan kekasih berusia 31 dan 26 tahun serta rakan lelaki berusia 36 itu ditahan di sekitar Tampoi dan Larkin di Johor Bahru pada jam 8.30 pagi.

Rahmat berkata penahanan itu berjaya dibuat selepas menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang memaklumkan rumah ibunya di Taman Bukit Indah dimasuki orang pada 2 dan 3 Mei lepas.

Menurutnya, semakan mendapati tiga kereta yang dirampas itu mendapati dua daripadanya mempunyai rekod hilang dalam kes pecah rumah, manakala sebuah lagi buah dipercayai kenderaan yang digunakan suspek ketika melakukan jenayah itu.

“Semua rampasan dianggarkan bernilai RM300,000,” katanya.

Rahmat berkata pasangan kekasih itu didapati mempunyai rekod jenayah lampau dan positif methamphetamine, manakala rakannya mempunyai 10 rekod jenayah lampau dan dadah, namun ujian saringan awal air kencing adalah negatif.

Beliau berkata kesemua individu itu direman selama lima hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 457/379 A Kanun Keseksaan. –Bernama