TNB siasat kes renjatan elektrik korbankan tiga beradik di Tumpat

KOTA BHARU: Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian tiga beradik perempuan maut akibat renjatan elektrik di sebuah rumah yang dilanda banjir di Kampung Bendang Surau, dekat Morak, Tumpat, hari ini.

TNB dalam kenyataannya memaklumkan siasatan berkenaan turut membabitkan kerjasama dengan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Tenaga dan polis.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan sebarang gambar atau video kejadian tersebut dan membuat sebarang spekulasi, selain memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.

“TNB juga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan meminta orang ramai menghormati perasaan serta sensitiviti keluarga mangsa,“ menurut kenyataan itu.

Menerusi kenyataan itu juga, TNB mengulangi peringatannya kepada orang ramai agar tidak menghampiri atau menyentuh pepasangan elektrik yang ditenggelami banjir kerana dikhuatiri berlaku kebocoran arus.

TNB akan memastikan keselamatan orang ramai sentiasa diutamakan termasuk memutuskan sementara bekalan elektrik ke kawasan yang ditenggelami banjir atas faktor keselamatan dan penyambungan semula bekalan akan dibuat dengan kadar segera sebaik ia selamat dilakukan.

“Orang ramai diminta menghubungi talian 1-300-88-5454 bagi melaporkan pepasangan TNB yang berada dalam keadaan bahaya,“ menurut kenyataan itu.-Bernama