Tokan besar ditahan, dadah bernilai hampir setengah juta ringgit dirampas

MARANG: Polis menahan seorang lelaki serta merampas dadah jenis syabu dan yaba keseluruhan bernilai RM495,760, sekali gus menjadikan ia rampasan terbesar di Terengganu setakat ini bagi 2022.

Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Zain Mat Deris berkata lelaki berumur 54 tahun yang dipercayai tokan besar dadah itu diberkas hasil serbuan yang dilakukan di sebuah rumah di Kampung Surau Haji Yaakob di Bukit Payong di sini Isnin lepas menerusi Op Tapis Khas 3.0.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut polis menjumpai dadah jenis syabu seberat 13,199.52 gram yang bernilai RM468,000 dan dadah jenis yaba seberat 555.20 gram bernilai RM27,760.

“Selain rampasan tersebut, polis juga telah menyita wang tunai bernilai RM12,140. Dadah tersebut dipercayai untuk pasaran di Terengganu dan meliputi sebahagian negeri Pahang.

“Polis juga percaya rumah yang diserbu itu telah disewa oleh suspek untuk dijadikan tempat memproses (dadah). Rumah tersebut juga telah dipasang empat kamera litar tertutup (CCTV) yang berkemungkinan besar untuk mengesan kehadiran pihak polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang, di sini hari ini.

Mohd Zain berkata pemeriksaan mendapati lelaki warga tempatan yang bekerja sendiri itu positif dadah jenis methamphetamine dan kini ditahan reman selama tujuh hari hingga 24 April bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, suspek juga mempunyai 19 rekod kesalahan jenayah lampau berkaitan dadah dan telah bergiat aktif sejak 1998.

Malah katanya, lelaki itu juga kini masih dalam proses perbicaraan kes di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, setelah ditangkap pada tahun lepas. –Bernama