Tujuh individu gagal dalam rayuan untuk batal larangan merokok di premis makanan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) yang melarang merokok di semua premis kedai makan setelah memutuskan merokok di tempat awam bukan hak asasi yang perlu dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Panel tiga hakim terdiri daripada hakim Mahkamah Rayuan Datuk Yaacob Md Sam, Datuk M. Gunalan dan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lim Chong Fong menolak rayuan tujuh individu yang mahu mencabar keputusan larangan merokok di kedai makan.

Mereka ialah Mohd Hanizam Yunus, 55, Zulkifli Mohamad, 60, Mohd Laisani Dollah, 49, Mohd Sufian Awaludin, 38, Ridzuan Muhammad Noor, 56, Mohd Yazid Mohd Yunus, 51, dan Yuri Azhar Abdollah, 43.

Gunalan, yang menyampaikan keputusan mahkamah dalam prosiding secara maya berkata Menteri Kesihatan diberi kuasa di bawah undang-undang untuk mengenakan sekatan ke atas merokok seperti di mana atau apabila merokok dilarang.

“Kami berpendapat larangan merokok di kedai makan, restoran dan lain-lain boleh dianggap sebagai tidak melanggar Perkara 5 (kebebasan diri) dan Perkara 8 (semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama dari segi undang-undang) Perlembagaan Persekutuan.

Hakim itu berkata panel Mahkamah Rayuan bersetuju dengan tafsiran Mahkamah Tinggi bahawa perbuatan merokok di tempat awam bukanlah hak asasi yang sepatutnya dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Memandangkan larangan itu terpakai kepada semua orang, semua pengunjung, isu diskriminasi jika timbul, tidak melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Tiada kesilapan undang-undang atau fakta atau kegagalan hakim Mahkamah Tinggi dalam membuat keputusan untuk menolak semakan kehakiman perayu. Oleh itu tiada alasan untuk kami mengganggu atau mengubah keputusan hakim,“ katanya.

Mahkamah juga tidak membuat sebarang perintah mengenai kos.

Pada 29 Okt, 2019, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Seri Mariana Yahya (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan tujuh individu itu untuk mendapatkan perintah certiorari bagi membatalkan keputusan KKM melarang merokok di kedai makan.

Dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 31 Dis 2018 dengan menamakan KKM sebagai responden, tujuh lelaki itu yang menubuhkan persatuan dikenali sebagai Persatuan Pertahankan Perokok (PHP) mahu satu deklarasi bahawa keputusan KKM untuk melarang merokok di kedai makan adalah tidak berperlembagaan.

Mereka mendakwa perokok mempunyai hak sama rata dengan golongan tidak merokok untuk mengunjungi dan meluangkan masa di premis makanan dan kerajaan tidak menyediakan kemudahan yang mencukupi seperti kawasan merokok atau memasukkan peruntukan di bawah larangan merokok bagi pengusaha kedai makan untuk menyediakan kawasan larangan merokok mereka sendiri.

KKM mengenakan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan berkuat kuasa 1 Jan 2019.-Bernama