Usahawan, koperasi usah takut dapatkan pinjaman majukan perniagaan: Ewon

TUARAN: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menasihatkan usahawan dan koperasi yang berdaya maju di negara ini supaya tidak takut untuk mendapatkan pinjaman bagi memajukan perniagaan masing-masing.

Katanya pembiayaan pinjaman terutama disediakan kerajaan serta agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) bertujuan membantu memajukan usahawan dan koperasi terlibat, dan tidak sepatutnya dianggap sebagai ‘hutang’ yang menyukarkan perniagaan mereka.

Ewon berkata beliau sendiri pernah berdepan dengan usahawan dan koperasi yang takut untuk membuat pinjaman kerana takut dengan komitmen bayaran semula pinjaman bulanan, sedangkan perniagaan mereka amat berpotensi dimajukan malah mampu membayar pinjaman bulanan ditetapkan.

“Terdapat 66 agensi seluruh negara melaksanakan pembiayaan keusahawanan dan 10 agensi ini bawah Kuskop. Sudah tentu disediakan banyak peluang untuk usahawan dan koperasi di negara ini terutama di Sabah.

“Tetapi jadilah usahawan bijak yang mohon pembiayaan (perniagaan) untuk betul-betul laksana serta majukan perniagaan dan tidak pernah putus asa,“ katanya berucap merasmikan Program Santai Namun Sampai, Kembara Memperkasa Usahawan Koperasi di sini hari ini.

Ewon berkata usahawan dan koperasi juga perlu bertindak cepat dalam mendapatkan sesuatu pinjaman perniagaan terutama melibatkan agensi kerajaan kerana terdapat pembiayaan yang mempunyai had peruntukan tertentu berdasarkan belanjawan tahunan negara.

“Selepas Bajet 2023 dibentang semula pada 24 Feb (Jumaat ini) nanti, kita tahu sudah peruntukan disalurkan kepada agensi berkaitan termasuk pembiayaan, tetapi jangan pula tunggu hujung tahun, baru mahu mohon pembiayaan ini,” katanya.

Beliau berkata pihaknya pada masa ini juga sedang berusaha untuk mewujudkan skim pembiayaan yang khusus bagi usahawan dan koperasi di Sabah serta Sarawak.

“Pada masa ini kita tingkat kesedaran dahulu terutama bagi usahawan yang tinggal di pedalaman (Sabah dan Sarawak) yang tidak mengetahui kewujudan pembiayaan yang tersedia untuk mereka, sesi libat urus perlu dilakukan dengan mereka yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata sambutan perayaan seperti Pesta Kaamatan dan Hari Gawai merupakan antara masa yang sesuai untuk mengadakan sesi libat urus dengan penduduk terlibat, antaranya dengan menyediakan reruai penyampaian maklumat dan permohonan bantuan serta pembiayaan di kawasan sambutan tersebut. – Bernama