Usahawan sertai SAR selepas terkesan jiran hilang anak

BATANG KALI: Terkesan melihat keadaan jirannya yang bersedih selepas kehilangan anak perempuan berusia 11 tahun dalam tragedi tanah runtuh di Gohtong Jaya, di sini, seorang anggota Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Klang menawarkan diri menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Jeremy Chew, 49, yang merupakan seorang usahawan, meninggalkan sementara perniagaan menghantar barangan dan perkapalannya untuk hadir bertugas seawal 3 pagi semalam.

“Apabila saya mendengar cerita jiran saya yang anaknya turut menjadi mangsa, saya berasa amat sedih. Saya tidak dapat bayangkan sekiranya tragedi ini berlaku ke atas ahli keluarga saya sendiri,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pusat Kawasan Tempat Kejadian (PKTK), di sini hari ini.

Chew yang menyertai Sukarelawan APM sejak beberapa tahun lepas berkata pembabitanya dalam SAR tersebut merupakan pengalaman baharu dan mencabar.

Menurutnya pergerakan mengesan mangsa agak sukar memandangkan keadaan tanah bercampur selut dan pasir di lokasi kejadian.

“Sekiranya tidak berhati-hati, ia boleh menyebabkan badan tertimbus hingga ke paras pinggang,” katanya.

Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi Jumaat lepas di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm itu, setakat ini menyaksikan 61 mangsa selamat, 26 orang terkorban dan tujuh lagi masih hilang daripada keseluruhan 94 orang.-Bernama