Video lelaki disamun di stesen kereta api berlaku di Brazil, bukan Segambut

KUALA LUMPUR: Polis menafikan bahawa insiden seorang lelaki dirompak dan dicederakan oleh beberapa individu di sebuah stesen kereta api dalam sebuah klip video berlaku di Segambut sebaliknya menyatakan ia berlaku di Brazil bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata video berdurasi 41 saat bertajuk “Segambut Public transport at night itu dikesan tular hari ini”.

“Hasil semakan mendapati video itu adalah insiden yang berlaku di Brazil pada bulan April dan video insiden berkenaan didapati telah disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan dakwaan ia berlaku di Kuala Lumpur,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Beliau juga menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan berita tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya selain tidak menyebar mahupun berkongsi lanjut sebarang maklumat sedemikian untuk mengelakkan kegusaran serta keresahan dalam kalangan masyarakat.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang di dalam negara ini,” katanya.

Klip video itu memaparkan seorang lelaki disamun oleh sekumpulan individu selain dipukul dan ditikam beberapa kali ketika mangsa cuba melawan untuk mendapatkan begnya. – Bernama