Wanita rugi RM326,100 menjadi mangsa phone scam

GEORGE TOWN: Seorang kerani sebuah syarikat swasta kerugian RM326,100 selepas wanita itu menjadi mangsa sindiket penipuan melibatkan “phone scam” yang mendakwa mangsa terlibat kes kecurian elektrik dalam kejadian baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt V. Saravanan berkata mangsa berusia 51 tahun itu membuat laporan polis berhubung kes penipuan itu pada Isnin lepas selepas dia menyedari menjadi mangsa sindiket penipuan.

“Wanita itu memaklumkan dia telah menerima panggilan telefon daripada seorang suspek (suspek pertama) yang mengaku sebagai pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Julai lepas dan suspek kemudian memberitahu mangsa terlibat dalam kes kecurian elektrik.

Seterusnya panggilan telefon tersebut telah disambung kepada seorang individu lain (suspek kedua) yang mendakwa dia daripada satu agensi pihak berkuasa dan mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram,‘’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya panggilan telefon mangsa disambungkan seterusnya kepada suspek ketiga yang telah meminta mangsa memindahkan wang ke beberapa akaun bank tempatan bagi tujuan siasatan untuk mengelak daripada ditahan pihak polis.

Saravanan berkata mangsa yang bimbang ditahan pihak berkuasa telah membuat pemindahan wang simpanannya sebanyak RM326,100 ke enam akaun dipercayai milik “keldai akaun” sejak Julai hingga Ogos lepas.

Katanya suspek ini kemudian memberitahu mangsa bahawa wangnya akan dikembalikan semula selepas mangsa hadir ke Mahkamah George Town pada 30 Ogos lepas.

“Mangsa merasakan telah ditipu apabila suspek sering meminda tarikh untuk dia hadir ke mahkamah dan mangsa juga turut diminta untuk membuat pindahan wang dari akaun bank luar negara sekiranya ada,“ katanya. kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata wanita itu kemudiannya membuat laporan polis dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas kes yang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan termasuk mengesan pemilik-pemilik akaun digunakan sindiket itu.

Sementara itu, katanya sebanyak 905 kes penipuan membabitkan “phone scam” dilaporkan di Daerah Timur Laut sepanjang Januari hingga semalam dan daerah itu menerima laporan kes penipuan melalui telefon paling banyak di seluruh negara.

“Jumlah kerugian yang dialami mangsa mencecah jutaan ringgit, oleh itu polis menyeru supaya orang ramai tidak mudah terpedaya dengan tipu helah dan taktik yang digunakan oleh sindiket penipuan yang menyamar sebagai pihak berkuasa atau mana-mana agensi kerajaan dengan tujuan menakut-nakutkan mangsa,“ katanya. –Bernama