Yeo puji langkah gabung KeTSA, KASA di bawah satu kementerian

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin (foto) memuji langkah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggabungkan portfolio alam sekitar, sumber asli, kawalan pencemaran, perubahan iklim dan air di bawah satu kementerian.

Beliau berkata langkah menggabungkan kesemua sektor yang sebelum ini diletak di bawah dua kementerian akan mengelak kehilangan masa yang tidak sepatutnya dihabiskan dalam penyelarasan antara kementerian dan memastikan tadbir urus yang holistik.

Susulan pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 Nov lepas, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) serta Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) digabung sebagai Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dengan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dilantik sebagai Menterinya.

“Ia akan lebih sempurna jika Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), yang merupakan sebahagian kecil daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (kini Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan), boleh dipindahkan ke Kementerian Alam Sekitar seperti yang diamalkan oleh kebanyakan negara lain,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Yeo berkata penggabungan portfolio pemuliharaan perhutanan dan hidupan liar, kawalan pencemaran, perubahan iklim, air dam pengurusan sisa di bawah satu kementerian boleh dilakukan kerana Kementerian Alam Sekitar di kebanyakan negara bertanggungjawab bagi kesemua sektor terbabit termasuk United Kingdom, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand, Singapura dan China.

Menurut Yeo, tiada keperluan bagi Malaysia untuk mempunyai dua atau lebih kementerian bagi mengendali bidang kuasa terbabit jika negara lain boleh memiliki semuanya dalam satu.

Beliau berkata kerajaan baharu telah melakukan perubahan asas paling penting seperti perubahan dalam struktur kementerian ke arah tadbir urus alam sekitar yang lebih holistik.

“Saya tidak sabar untuk melihat perubahan holistik dalam pemuliharaan alam sekitar dan usaha-usaha perlindungan di negara ini di bawah kepimpinan rakan saya iaitu Menteri Alam Sekitar yang baharu dilantik, Nik Nazmi,” katanya. – Bernama