Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura antara topik pertemuan Anwar, Lee di Singapura

SINGAPURA: Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura adalah antara topik yang disuarakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika perbincangan dua hala secara tidak rasmi bersama rakan sejawatnya Lee Hsien Loong hari ini.

Perdana Menteri berada di sini bagi lawatan kerja sehari, antara lain bagi menghadiri undangan badan pemikir, Milken Institute, untuk berkongsi pandangan dalam usaha menarik pelaburan dari luar negara ke Malaysia.

“Perbincangan secara persahabatan. Tentu kita bincangkan perkara yang menyentuh kedua-dua negara, tetapi tidak rasmi. Saya tentu membangkitkan isu-isu lain termasuk cadangan kawasan khas (di Johor) bagi pengurus syarikat asing yang bekerja di Singapura,” katanya kepada media Malaysia pada akhir lawatan kerja itu.

Anwar berkata pada masa akan datang, kawasan itu akan menjadi alternatif kepada pengurus syarikat global berpangkalan di Singapura untuk menetap.

“Kawasan ini akan memudahkan perjalanan mereka. Hidup dalam keadaan yang lebih selesa, suasana yang lebih baik dengan kemudahan termasuk sekolah antarabangsa, kelab golf dan perjalanan yang mudah melalui Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua),” katanya.

Perdana Menteri menjelaskan, beliau turut menerima banyak pertanyaan mengenai idea zon khas itu dalam perjumpaan terdahulunya bersama pelabur global hari ini.

“Saya telah menyatakan kepada pelabur bahawa kos pengurusan terlalu tinggi (di Singapura). Mereka boleh terus bekerja di Singapura dan menetap di Johor,” katanya.

Malaysia dan Singapura pada Julai telah bersetuju untuk mewujudkan pasukan petugas khas bagi mengkaji penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.

Pasukan petugas khas itu akan melaporkan perkembangannya kepada para pemimpin apabila mereka mengadakan pertemuan ketika Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura akan datang yang dijadualkan pada Oktober ini.

Kali pertama lawatan Anwar sebagai Perdana Menteri ke Singapura adalah pada Januari lepas.

Ketika ditanya berkenaan lawatan beliau ke New York, Anwar berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan pelabur besar di Amerika Syarikat dan di peringkat global.

Beliau juga akan menemui Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dalam usaha untuk menangani isu Islamofobia di arena global.

“Mesyuarat bilateral juga saya akan adakan yang akan diumumkan sebelum saya bertolak nanti,” katanya. –Bernama