Agong, Permaisuri berbuka puasa di padang MBK1 bersama rakyat

KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mencemar duli berbuka puasa di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK1) di sini bersama rakyat, yang menjadi tradisi Seri Paduka dan keluarga pada bulan Ramadan.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah ke padang itu pada pukul 6 petang diiringi oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, bersama-sama anakanda-anakanda Seri Paduka berdua.

Menyambut ketibaan Seri Paduka berdua ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Polis Negeri Datuk Ramli Mohamed Yoosuf dan Datuk Bandar Kuantan Datuk Hamdan Hussin.

Sebelum berbuka, Al-Sultan Abdullah berkenan menyantuni penjual dan pengunjung bazar Ramadan Mahkota Square yang terletak bersebelahan padang itu, yang ingin bergambar bersama, selain baginda berkenan membeli pelbagai juadah berbuka puasa.

Tunku Azizah turut berkenan mengagihkan kira-kira 2,000 bekas bubur lambuk hasil air tangan baginda kepada pengujung.

Seri Paduka berdua kemudian turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 100 anak-anak yatim dari Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, Kuantan dan Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom, Penor. –Bernama