Duit simpanan jurutera RM261,000 lebur selepas terpedaya pelaburan kupon tidak wujud

JOHOR BAHRU: Seorang jurutera wanita mengalami kerugian sebanyak RM261,000 selepas menjadi mangsa pelaburan kupon yang tidak wujud.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Supt Fariz Ammar Abdullah berkata wanita warga tempatan berusia 40 tahun itu membuat laporan polis pada 21 Ogos lepas.

Beliau berkata mangsa diperdaya selepas mengenali seorang lelaki menerusi aplikasi Tinder yang memperkenalkannya dengan pelaburan tersebut pada Julai lepas.

“Kupon itu dijual oleh individu tersebut dan dia telah berjanji kepada mangsa bahawa akan mendapat pulangan wang sebanyak lima peratus dan modal dalam 30 minit selepas pembayaran dibuat.

“Mangsa didapati telah membuat pemindahan wang melibatkan sebanyak 17 transaksi secara dalam talian ke akaun-akaun bank yang diberikan individu itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun mangsa menyedari telah ditipu selepas pautan laman web yang diberikan individu tersebut yang didakwa boleh melihat keuntungan yang bakal diperoleh, tidak boleh diakses.

Fariz Ammar berkata lebih malang individu itu turut gagal dihubungi oleh mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Fariz Ammar turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati apabila berurusan d individu yang tidak dikenali secara maya atau melibatkan traksaksi wang dalam jumlah besar.-Bernama