G3 Global peroleh kontrak bernilai RM118.38 juta bangun sistem keselamatan KLIA, KLIA2

KUALA LUMPUR: G3 Global Bhd akan bekerjasama dengan syarikat tersenarai di Hong Kong, SenseTime, untuk mereka bentuk dan membangunkan sistem keselamatan bersepadu lapangan terbang (AIS3) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 bagi kontrak bernilai RM118.38 juta.

Pakar kecerdasan buatan (AI) itu berkata kontrak tersebut yang diperoleh pada 15 April daripada anak syarikat Malaysia Airports Holdings Bhd, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd, merupakan yang terbesar sejak penyusunan semula perniagaannya dan juga projek arkitek induk pertama dalam kalangan 10 lapangan terbang utama dunia.

G3 Global dalam satu kenyataan hari ini berkata ia akan memanfaatkan keupayaan AI miliknya dan pengetahuan meluas industri syarikat perisian AI, SenseTime, untuk membangunkan platform bersepadu canggih bagi menambah baik keseluruhan keupayaan keselamatan dan pengurusan keselamatan.

Sebagai rakan kongsi G3 Global, SenseTime menawarkan platform AI utama industri yang akan melengkapkan keupayaan kumpulan itu bagi menyediakan set produk komprehensif untuk pengalaman lebih menyeluruh.

Pengarah Urusan G3 Global Dirk Quinten berkata pasca pembukaan semula sempadan antabangsa, trafik di kedua-dua KLIA dan klia2 dijangka pulih semula, justeru, lapangan terbang ini amat memerlukan sistem pengurusan keselamatan pintar yang canggih.

“Sistem kami efisien, bersepadu tinggi dan memiliki keupayaan analitik data canggih. Ini akan dapat membantu untuk membuat keputusan yang lebih pantas dan lebih baik dalam memantapkan pengurusan keselamatan lapangan terbang.

“AIS3 akan menjadi kunci dalam mentransformasikan KLIA dan klia2 menjadi lapangan terbang berteknologi tinggi, bagi persediaan yang lebih baik untuk mengendalikan lebih ramai penumpang pada masa depan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, projek AIS3 tersebut dijangka selesai menjelang Mac 2024.

“Selepas projek itu selesai kelak, G3 Global merancang melaksanakan model pengurusan keselamatan berasaskan AI yang sama ke lapangan terbang domestik lain dan seluruh rantau ini bagi mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pemain AI tersenarai terbesar di Malaysia,” katanya. – Bernama