Gerakan jangka tanding lebih banyak kerusi, kembali fokus di Pulau Pinang

KUALA LUMPUR: Parti Gerakan, antara komponen Perikatan Nasional (PN) menjangkakan akan diberi lebih kerusi untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bulan depan.

Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata parti itu juga berkemungkinan diberi lebih banyak kerusi Parlimen di Pulau Pinang berdasarkan pengalaman dan sumbangan Gerakan selama 39 tahun di negeri itu.

“Semasa rundingan walaupun Gerakan adalah parti bukan etnik tetapi persepsi di bawah PN, kawasan yang bukan Melayu dan bukan Muslim akan diberi kepada Gerakan kerana kekuatan parti ialah kerusi campuran,” katanya kepada media selepas melancarkan bilik gerakan PRU15 PN Parlimen Puchong dekat sini hari ini.

Gerakan telah mendominasi Pulau Pinang selama 39 tahun bermula 1969 dan menyertai komponen Barisan Nasional (BN) selepas 1974.

Pemerintahan Gerakan di Pulau Pinang berakhir selepas tewas kepada Pakatan Harapan (PH) dalam PRU12 pada 2008 dan parti itu meninggalkan BN pada 2018 selepas kalah di semua kerusi ditandinginya di seluruh negara.

Sementara itu, Lau yang tewas dua kali di Parlimen Batu memberi bayangan untuk bertanding di Pulau Pinang kerana ingin kembali memimpin dan bangkit semula di negeri itu.

Beliau juga mengingatkan pemimpin Gerakan agar tidak mengutamakan kerusi tradisi kerana objektif utama parti ialah memenangkan PN.

Lau berkata rundingan pembahagian kerusi di peringkat PN telah hampir selesai dengan beberapa lagi kerusi dalam penilaian terakhir sebelum senarai lengkap calon yang akan mewakili PN diumumkan dalam masa terdekat. – Bernama