Hamidin dipilih sebagai Ahli Majlis AFF

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin dipilih sebagai seorang daripada lima Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) penggal 2022-2026.

FAM menerusi kenyataan hari ini berkata, Chris Nikou dari Australia, Viphet Sihachakr (Laos), Ko Ko Thein (Myanmar) dan Thanasak Suraprasert (Thailand) turut dipilih ke jawatan itu pada Kongres AFF ke-29 di Siem Reap, Kemboja hari ini.

Sementara itu, Mejar Jeneral Khiev Sameth menang tanpa bertanding untuk kekal sebagai Presiden bagi penggal kedua, selepas turut menang tanpa bertanding pada 2019 menggantikan Almarhum Sultan Ahmad Shah yang meletak jawatan kerana faktor kesihatan ketika itu.

Hamidin sebelum ini pernah dipilih sebagai seorang daripada tiga Naib Presiden pada Mac 2019, namun beliau melepas jawatan itu sebulan selepas itu atas alasan mahu memberi tumpuan ke atas tanggungjawabnya sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Kami terus mengharapkan kerjasama yang lebih erat dalam kalangan negara anggota AFF di bawah kepimpinan Sameth agar AFF dapat membantu ahli gabungannya menaikkan standard bola sepak Asia Tenggara.

“Dengan pemilihan ini, saya akan terus memastikan suara Malaysia sentiasa didengari di peringkat Asia Tenggara. Saya mempunyai sebab tersendiri, iaitu untuk tidak bertanding merebut jawatan yang lebih tinggi kerana apa yang paling utama buat saya ialah negara Malaysia,” kata Hamidin.

Turut hadir mewakili Malaysia Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahman bagi kongres kali ini.

Keputusan Pemilihan Penggal 2022-2026:

1. Presiden: Mejar Jeneral Khiev Sameth (Kemboja)

2. Naib Presiden: Pengiran Matusin Pengiran Matasan (Brunei), Maaike Ira Puspita (Indonesia) & Francisco Martins da Costa Pereira Jeronimo (Timor Leste)

3. Ahli Majlis: Chris Nikou (Australia), Viphet Sihachakr (Laos), Datuk Hamidin Mohd Amin (Malaysia), Ko Ko Thein (Myanmar) dan Thanasak Suraprasert (Thailand)

4. Ahli Majlis Wanita: Teo Chwee Lian Julie (Singapura) – Bernama