Inflasi dalam ekonomi membangun boleh kembali kepada bacaan normal

KUALA LUMPUR: Inflasi dalam ekonomi membangun termasuk Malaysia dan Indonesia boleh kembali kepada bacaan yang lebih normal pada kadar yang sama seperti ekonomi maju.

Bacaan itu mungkin menggambarkan penggunaan subsidi kerajaan yang agak ketara untuk mengekalkan harga domestik yang rendah, sekali gus mengurangkan inflasi, demikian menurut Moody’s Analytics (Moody’s) berkata dalam nota penyelidikan hari ini.

“Selain itu, kedua-dua negara ini (Malaysia dan Indonesia) kaya dengan sumber asli seperti komoditi tenaga (arang batu terma, minyak dan gas) dan bijih mineral (aluminium, besi dan nikel), yang mengurangkan pergantungan mereka terhadap import dan pendedahan yang berkaitan dengan inflasi diimport.

“Sebagai contoh, Indonesia menggunakan apa yang dipanggil obligasi pasaran domestik ke atas sebahagian besar komoditi ini, yang menghendaki perniagaan menjual sebahagian daripada hasil mereka di dalam negara dan pada diskaun kepada harga pasaran,” katanya.

Ia berpendapat inflasi berterusan yang lebih tinggi dalam ekonomi lebih maju seperti Singapura, Hong Kong dan Korea Selatan mungkin dijelaskan oleh kekurangan sumber asli mereka, menjadikan negara-negara ini perlu menerima harga semasa dan lebih terdedah kepada inflasi diimport.

“Tambahan pula, ekonomi-ekonomi ini berpengkhususan dalam industri nilai tambah tinggi seperti pembuatan berteknologi tinggi, yang sering menggunakan input import untuk menghasilkan barangan siap mereka.

“Di Australia dan New Zealand, bank-bank pusat berjaya menggunakan dasar monetari untuk mengekalkan inflasi dalam lingkungan sasaran mereka sepanjang tempoh 20 tahun, disokong oleh dasar kerajaan yang menyumbang kepada inflasi berterusan yang rendah dalam ekonomi ini,” tambahnya. — Bernama