Initiatif perumahan antara kandungan manifesto PN Perak

IPOH: Pemberian inisiatif perumahan kepada lebih 50,000 keluarga antara usaha dalam lima teras utama yang dimuatkan dalam manifesto Perikatan Nasional (PN) Negeri Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata PN Perak berpandangan bahawa setiap keluarga yang belum memiliki rumah perlu diberi peluang memohon tapak bagi membolehkan mereka membina rumah mengikut kapasiti keluarga.

“Tidak dinafikan masih terdapat ramai penduduk tidak memiliki kediaman sendiri, malah ada juga mereka yang menetap di kawasan setinggan.

“Maka, dalam hal ini Perikatan Nasional berpandangan bahawa nasib golongan ini perlu mendapat pembelaan sewajarnya. Insya-Allah, sebanyak 50,000 keluarga dijangka menerima faedah daripada inisiatif ini,“ katanya dalam ucapan Pelancaran Manifesto PN Negeri Perak di sini hari ini.

Beliau yang merupakan penyandang Ahli Parlimen Tambun berkata manifesto bertemakan ‘PN Baik Perbaiki Negeri Bersama Agenda Inisiatif Kemakmuran’ bersandarkan kepada lima teras utama dengan fokus terarah kepada pendidikan, sosial, wanita, infrastruktur dan kelestarian alam sekitar.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata PN turut sedia untuk menawarkan baucar pembelian peralatan termasuk komputer riba dan tablet sehingga RM1,000 dan baucar pembelian buku untuk pelajar bagi menggalakkan budaya membaca.

Beliau berkata sekiranya PN diberi mandat memegang tampuk pemerintahan kerajaan negeri, mereka akan memastikan penganjuran kelas al-Quran dan sivik percuma di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan bercadang membuka kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bermula tahun 1 hingga tahun 6 selain bantuan yuran buku percuma untuk meringankan beban ibu bapa.

Selain itu, katanya PN Perak komited untuk memastikan kaum wanita berdaya saing dan maju dalam bidang ekonomi serta melahirkan ramai usahawan wanita menerusi Pelan Pembangunan Peluang Pekerjaan Ekonomi Wanita Baru (EWB).

“PN juga bertekad untuk menaikkan nilai kad Kasih Ibu Darul Ridzuan daripada RM290 kepada RM400 sebulan. Ia sejajar dengan kenaikan kadar pembelian barangan asas keperluan serta perbelanjaan kesihatan,“ katanya.

Pada sidang media selepas itu, Ahmad Faizal berkata manifesto PN itu dilancarkan berbaki dua hari sebelum hari pengundian selepas pihaknya mendapat maklum balas daripada orang ramai dalam tempoh berkempen berhubung perkara boleh ditambah baik di negeri berkenaan. – Bernama