Jerman tangguh penutupan loji nuklear akibat krisis tenaga

BERLIN: Jerman akan mengekalkan dua loji nuklear terakhirnya dalam “keadaan siap sedia” sehingga April depan berikutan krisis tenaga yang semakin teruk, umum kerajaan pada Isnin.

Menteri Tenaga Robert Habeck dalam sidang media di Berlin berkata kerajaan tidak akan menarik balik rancangan untuk menamatkan program nuklearnya, tetapi akan menangguh penutupan dua daripada tiga loji nuklearnya, lapor Agensi Anadolu.

“Kami akan melakukan segala yang perlu.

“Tetapi akan mengekalkan loji janakuasa nuklear Isar 2 dan Neckarwestheim sebagai rizab operasi,” tegasnya.

Habeck berkata kajian komprehensif oleh kementeriannya telah membuat kesimpulan bahawa susulan ketegangan yang berterusan antara Rusia dan Ukraine, krisis tenaga pada musim sejuk tidak boleh ditolak sepenuhnya.

“Isar 2 dan Neckarwestheim akan diletakkan dalam keadaan siap sedia sehingga pertengahan April 2023 dan akan menjana kuasa ketika musim sejuk jika diperlukan,“ katanya, sambil menambah rod bahan api baharu tidak akan digunakan, dan rizab kecemasan ini tidak akan digunakan selepas itu.

Jerman memutuskan untuk menghentikan penggunaan tenaga nuklear pada 2011, berikutan bencana nuklear Fukushima di Jepun.

Tiga loji tenaga nuklear terakhir negara itu dijadual dihenti tugas pada akhir tahun ini. – Bernama