Kedai punca keracunan makanan diarah tutup

JOHOR BAHRU: Sebuah kedai makan di daerah ini diarah tutup setelah pihak Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mendapati tahap kebersihan premis berkenaan tidak memuaskan susulan isu viral yang mengaitkan kedai berkenaan dengan kes keracunan makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon berkata terdahulu, pihaknya menyiasat kes keracunan itu susulan dakwaan berkenaan keracunan makanan semalam (15 Mei) setelah seorang pelanggan makan roti di kedai makan tersebut.

Katanya selain itu tiga notis turut dikeluarkan di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 atas kesalahan melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009.

“Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru masih melakukan pengesanan kes keracunan makanan secara aktif yang berkaitan kejadian ini dari fasiliti kesihatan swasta dan kerajaan.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk mengambil langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko keracunan makanan dengan memilih kedai makan yang mempunyai tahap kebersihan memuaskan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menasihati masyarakat agar mengamalkan “lihat, hidu dan rasa” sebelum makan untuk mengelakkan keracunan makanan selain mengenal pasti gejala keracunan makanan seperti sakit perut, muntah dan cirit-birit bagi mendapatkan rawatan segera. – Bernama