Kes dua warga Myanmar didakwa bunuh rakan senegara ditangguh

SUNGAI PETANI: Mahkamah Majistret di sini hari ini menangguhkan kes melibatkan dua pekerja ladang warga Myanmar, yang didakwa membunuh rakan senegara mereka di stor ladang limau di Tikam Batu pada 17 April lepas.

Majistret Nurul Ainna Ahmad memutuskan demikian selepas tertuduh Khin Maung Win, 39, dan Tun Soe, 42, mendakwa tidak memahami bahasa Melayu, sebelum pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadap mereka.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Jun depan untuk sebutan semula kes, bagi menyediakan perkhidmatan jurubahasa Myanmar kepada mereka.

Terdahulu, kedua-dua lelaki terbabit sepatutnya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan Seksyen 34 kanun yang sama.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada mereka.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Hamizah Mat Shah manakala kedua-dua pekerja ladang itu tidak diwakili peguam.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa bersama-sama membunuh Maung Tun Hlaing, seorang warga Myanmar di stor ladang limau, Lot 7670, Jalan Kampung Permatang Berangan, Mukim Pinang Tunggal, Tikam Batu dekat sini, lebih kurang 11 malam, 17 April lepas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan dalam satu kenyataan hari ini berkata polis menerima panggilan memaklumkan, seorang lelaki warga Myanmar berusia lebih kurang 40 tahun terbaring dengan kesan kepala berdarah kira-kira 1.05 tengah hari pada 18 April lepas.

Zaidy berkata mangsa ditemui dalam stor ladang limau, Lot 7670 Jalan Kampung Permatang Berangan, Mukim Pinang Tunggal, Tikam Batu.

Beliau berkata kedua-dua suspek ditahan pada 21 April lepas dan direman tujuh hari sebelum dihadapkan ke mahkamah hari ini.-Bernama