KTMB sedia tren ETS tambahan sempena cuti sekolah, cuti umum

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan dua perkhidmatan tambahan tren elektrik (ETS) Platinum bagi laluan KL Sentral-Padang Besar-KL Sentral sempena cuti sekolah dan cuti umum akan datang.

KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan penambahan perkhidmatan itu melibatkan perjalanan dari Jumaat hingga Isnin bertarikh 9 hingga 12 Dis, 16 hingga 19 Dis, 23 hingga 26 Dis dan 30 Dis depan hingga 2 Jan 2023.

Kenyataan itu menyebut tambahan tren ETS terbabit dapat menampung permintaan tinggi bagi beberapa destinasi seperti Ipoh, Butterworth, Alor Setar dan Padang Besar.

Tren tambahan itu menawarkan sejumlah 10,080 tiket yang akan mula dijual esok.

“Setakat hari ini, lebih 55 peratus tiket telah dijual bagi sektor KL Sentral-Padang Besar-KL Sentral pada hujung minggu.

“Trend ini dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa berikutan cuti sekolah dan cuti umum serta kepada pengguna yang terus memilih perkhidmatan kereta api untuk ke destinasi pilihan masing-masing,” menurut kenyataan itu.

Para pengguna disaran membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau laman sesawang KTMB. – Bernama