Mangsa sindiket penipuan kerja berjaya dibawa pulang Sabtu lepas

IPOH: Choong Chin Yee, 28, rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan dan dikurung secara haram di Filipina hampir setahun, berjaya dibawa pulang ke Ipoh pada Sabtu lepas (12 Nov).

Menceritakan pengalamannya, Choong yang masih trauma berkata dia berjaya melarikan diri dari pekarangan tempat dia ditahan dan tinggal di jalanan di Manila antara 25 hingga 27 Okt.

“Saya menerima panggilan daripada Ah Nan (Low Guo Nan, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Perak) pada malam 27 Okt, memberitahu saya bahawa seorang rakyat Malaysia yang bekerja di Manila boleh membantu saya dalam proses untuk membawa saya pulang ke Malaysia selepas membaca berita mengenai keadaan saya.

“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutama individu yang menghubungi Ah Nan. Saya berharap pengalaman saya dapat menjadi peringatan kepada semua orang agar tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan pekerjaan seperti ini,” katanya pada sidang media yang diadakan oleh Low, di sini hari ini, yang dihadiri oleh ibu Choong, Vong Foong Thai, yang menangis kegembiraan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong yang turut hadir berkata lebih 80 mangsa sindiket telah diselamatkan dan berjaya dibawa pulang antara April dan Julai tahun ini.

“Kami mengambil maklum mengenai sindiket penipuan pekerjaan ini pada Mac dan memaklumkan kepada orang ramai menerusi platform akhbar dan media sosial untuk mengelakkan lebih ramai individu menjadi mangsa.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia di luar negara yang sudi menghulurkan bantuan kepada rakyat Malaysia untuk pulang ke tanah air,” katanya.-Bernama