M’sia akan lancarkan kempen tarik kunjungan pelancongan dari Asia Barat

NEW DELHI: Pemain industri pelancongan Malaysia akan mengadakan jerayawara di lima negara di Asia Barat bulan depan untuk menarik kedatangan pelancong.

Pelancong Asia Barat yang cenderung tinggal lebih lama dan sering melancong bersama keluarga, dilihat penting bagi memulihkan sektor pelancongan Malaysia selepas pembukaan semula sempadan.

Pemain industri diketuai Tourism Malaysia akan melawat Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Iran, Oman dan Qatar untuk memaklumkan kepada pengendali pelancongan mengenai kesediaan Malaysia menjadi tuan rumah dan mempersembahkan tarikan baharu sejak dua tahun dilanda pandemik yang melumpuhkan perjalanan antarabangsa.

“Kami akan menyertai pameran perdagangan Arabian Travel Market (ATM) di Dubai dan melawat negara lain di rantau ini.

“Ia adalah sebahagian daripada kempen promosi antarabangsa untuk menjalin semula hubungan dengan pasaran utama kami,“ pengarah kanan bahagian promosi antarabangsa Tourism Malaysia, Manoharan Periasamy memberitahu Bernama.

“Kami juga bercadang untuk berkempen di negara yang pintu sempadannya telah dibuka. Kami akan mengambil bahagian dalam beberapa pameran industri pelancongan tahun ini,“ katanya.

ATM, pameran pelancongan terbesar di Timur Tengah, akan berlangsung di Dubai bermula 9 hingga 12 Mei.

Arab Saudi menyumbang jumlah ketibaan terbesar dari negara Timur Tengah, dengan 121,444 pelancong tiba di Malaysia pada 2019.

CrescentRating yang berpangkalan di Singapura, pakar terkemuka dunia dalam industri pelancongan halal, menyenaraikan Malaysia sebagai destinasi nombor satu yang menyediakan perkhidmatan mesra dan hospitaliti untuk pelancong Muslim.

Malaysia mensasarkan untuk menarik dua juta pelancong antarabangsa tahun ini dengan lebih RM8.6 bilion pendapatan pelancongan, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Shukri baru-baru ini.-Bernama