Muhammad Haiqal lepasi had kelayakan ke Sukan SEA Kemboja

KUALA LUMPUR: Pelari pecut negara Muhammad Haiqal Hanafi (gambar)muncul juara acara 100 meter (m) dengan catatan masa 10.46 saat (s) pada Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia hari ini sekali gus melepasi had kelayakan ke Sukan SEA Kemboja 2023.

Catatan diperoleh Muhammad Haiqal pada kejohanan di Stadium Mini Majlis Sukan Negara itu melepasi had kelayakan 10.56s yang ditetapkan untuk ke temasya dwitahunan di Phnom Penh, Kemboja pada Mei ini.

Berdasarkan rekod, Muhammad Haiqal kini berkongsi catatan masa dengan seorang lagi pelari pecut negara, Muhammad Arsyad Md Saat, yang merekodkannya pada temasya Sukan Malaysia 2022 selain jaguh pecut muda Malaysia iaitu Muhammad Azeem Mohd Fahmi, yang memegang rekod kebangsaan 100 m.

Muhammad Azeem mencatat 10.09s pada kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 tahun di Colombia, Ogos tahun lepas.

Hanya dua pelari pecut yang mempunyai catatan masa terbaik dan melepasi had kelayakan ditetapkan dibenar menyertai acara berkenaan di temasya dwitahunan itu.

Muhammad Haiqal, yang memenangi pingat emas di Sukan SEA Manila 2019, tidak membuat penampilan pada edisi Sukan SEA Vietnam tahun lepas setelah gagal melepasi had kelayakan ditetapkan.

“Ini merupakan kejohanan pertama saya pada tahun ini. Selalunya catatan masa saya tidak akan berapa baik namun saya bangga dengan pencapaian yang dilakukan hari ini,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, atlet Melaka Khairul Hafiz Jantan menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua dengan catatan 10.51s diikuti atlet Angkatan Tentera Malaysia Jonathan Nyepa di tempat ketiga dengan catatan 10.53s. –Bernama