Nelayan tidak aktif dinasihat serah semula lesen

PASIR GUDANG: Mana-mana nelayan yang memiliki lesen menangkap ikan tetapi tidak aktif atau tidak lagi turun ke laut dinasihatkan agar menyerahkan semula lesen tersebut kepada pihak Jabatan Perikanan Negeri Johor dengan kadar segera.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip berkata langkah berkenaan merupakan proses pemutihan bagi mengetahui jumlah sebenar nelayan yang ada di negeri ini sekali gus memudahkan kerajaan negeri menyalurkan inisiatif kepada golongan terbabit.

“Jika ada individu sudah keluar daripada industri perikanan, mereka bolehlah memulangkan lesen tersebut kepada jabatan ataupun sekiranya sudah menyerahkan kepada orang lain, pihak yang menerima lesen itu bawalah lesen tersebut ke jabatan dan daftarlah baharu.

“Ia bukan sahaja memudahkan kerajaan negeri menyampaikan sumbangan malah memberi peluang kepada nelayan lain mendapatkan lesen berkenaan,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Lesen Sampan Khas 2023 daerah Johor Bahru di Kampung Pasir Gudang Baru di sini hari ini.

Beliau berkata selepas proses pemutihan dilakukan sepanjang tahun lepas, Johor merekodkan 12,160 nelayan aktif melibatkan 11,267 nelayan laut dan selebihnya adalah nelayan darat.

“Terdapat kira-kira 100 lagi lebihan kuota lesen untuk nelayan, sekiranya masih ada permohonan untuk menjadi nelayan, kita masih boleh proses,“ katanya sambil menambah lesen itu bukan sahaja memberi kebenaran kepada mereka untuk berada di kawasan perairan tangkapan ikan, malah melayakkan mereka menerima elaun bulanan nelayan sebanyak RM300 sebulan dan subsidi minyak.

Sementara itu, Zahari memberi jaminan bahawa bekalan ikan di negeri itu kekal mencukupi setakat ini walaupun baru sahaja dilanda musim tengkujuh mengakibatkan banjir di lapan daerah iaitu Pontian, Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Mersing, Batu Pahat, Muar dan Tangkak dengan lebih 5,000 penduduk terjejas, sejak 24 Jan lepas.

Beliau berkata ini kerana beberapa langkah telah diambil untuk memastikan tiada masalah kekurangan bekalan berlaku termasuk menyimpan bekalan ikan secara sejuk beku sebagai persediaan awal.

“Hujung tahun lepas, saya ada melawat pusat pengumpulan ikan yang menangkap ikan untuk disimpan ketika musim tengkujuh. Berdasarkan maklumat diterima, pengusaha memaklumkan bekalan ikan khususnya di negeri ini mencukupi walaupun musim tengkujuh baru berlalu, namun mungkin harganya akan naik dan turun,“ katanya. – Bernama