Palestin, Israel setuju hentikan langkah unilateral

ANKARA/AMMAN: Perwakilan Palestin dan Israel bersetuju untuk menghentikan sebarang langkah unilateral dalam tempoh beberapa bulan ketika menghadiri mesyuarat keselamatan di Jordan pada Ahad, menurut Kementerian Luar Jordan.

Pertemuan di kota Aqaba itu diadakan ketika Amerika Syarikat, Mesir dan Jordan berusaha meredakan ketegangan antara kedua-dua pihak yang dikhuatiri akan terus meruncing.

“Kerajaan Israel dan Pihak Berkuasa Palestin mengesahkan kesediaan dan komitmen mereka untuk segera berusaha menamatkan langkah-langkah unilateral dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

“Ini termasuk komitmen Israel menghentikan perbincangan mengenai unit penempatan baharu selama empat bulan dan menghentikan kelulusan penempatan luar selama enam bulan,“ Agensi Anadolu memetik kenyataan Kementerian Luar Jordan.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pihak turut mengesahkan “komitmen mereka terhadap semua perjanjian sebelum ini, dan berusaha ke arah keamanan yang adil dan berkekalan.”

Sesi mesyuarat itu turut menegaskan keperluan untuk meredakan ketegangan di lapangan dan mencegah keganasan selanjutnya.

Mereka yang terbabit dalam mesyuarat Aqaba bersetuju untuk bersidang semula di bandar Laut Merah Sharm El-Sheikh, Mesir pada Mac.

“Jordan, Mesir dan Amerika Syarikat menganggap persefahaman ini sebagai kemajuan besar ke arah mewujudkan semula dan memperkukuh hubungan antara kedua-dua pihak, komited untuk membantu dan memudahkan pelaksanaannya mengikut kesesuaian,” menurut kenyataan itu.

Pertemuan Aqaba adalah yang pertama seumpamanya sejak rundingan damai pada 2014 yang ditaja AS antara Palestin dan Israel gagal berikutan keengganan Israel menghentikan pembinaan penempatan dan membebaskan penduduk Palestin yang dipenjarakan sebelum 1993.

Sekurang-kurangnya 62 rakyat Palestin terbunuh dalam insiden tembakan di Tebing Barat sejak awal tahun ini, menurut angka Palestin. – Bernama