Pejabat Ahli Parlimen Padang Besar peruntuk RM50,000 bantu mangsa ribut

PADANG BESAR: Pejabat Ahli Parlimen Padang Besar memperuntukkan sejumlah RM50,000 bagi membantu 148 mangsa kejadian ribut yang melanda Perlis pada 12 Julai lepas.

Ahli Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin(gambar) berkata bantuan wang tunai itu diharapkan dapat meringankan beban kesemua mangsa dalam menghadapi musibah tersebut.

“Kesemua mangsa ini melibatkan (kawasan) Titi Tinggi, Beseri, Chuping, Mata Ayer dan Santan. Paling teruk adalah di kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) Chuping dan DUN Mata Ayer,“ katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan itu di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer di sini hari ini.

Zahidi yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata kebanyakan mangsa mengalami kerosakan harta benda terutama pada bumbung rumah dan barangan elektrik ekoran hujan lebat berserta ribut itu.

Beliau berkata pihak berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Pejabat Menteri Besar turut membantu mangsa yang terjejas.

Pada 13 Julai lepas, Bernama melaporkan 100 kediaman di beberapa kampung di Perlis mengalami kerosakan terutama bahagian bumbung dalam kejadian hujan lebat dan ribut.

Sehubungan itu, media melaporkan yang Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menitahkan agar kediaman mangsa ribut di negeri itu segera diperbaiki.-Bernama