Pengurusan kes rayuan bekas ADUN cabar undang-undang lompat parti Pulau Pinang pada 5 Mei

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 5 Mei untuk pengurusan kes rayuan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang yang gagal dalam saman mereka bagi mencabar kesahan usul yang diluluskan oleh DUN bagi mereka mengosongkan kerusi mereka.

Peguam A. Surendra Ananth, yang mewakili DUN Pulau Pinang dan Speaker Datuk Law Choo Kiang, ketika dihubungi Bernama, mengesahkan tarikh pengurusan kes itu.

Pengurusan kes bekas wakil rakyat Bersatu bagi Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim telah diadakan hari ini di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rayuan Tiong Wen Wen yang menetapkan semula 5 Mei untuk pengurusan kes bagi rayuan Zulkifli.

Ini kerana rayuan oleh tiga lagi bekas ADUN ditetapkan untuk pengurusan kes pada 5 Mei.

Zulkifli, bekas ADUN Seberang Jaya Dr Afif Bahardin, bekas ADUN Bertam Khaliq Mehtab Ishaq dan bekas ADUN Telok Bahang Zolkifly Md Lazim telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 20 Jan lepas yang menolak saman mereka.

Mereka memfailkan saman pada 2020 untuk mencabar kesahan Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, dan untuk menghalang daripada kerusi mereka diisytiharkan kosong menurut Perkara 14A.

Pesuruhjaya Kehakiman Azizan Md Arshad memutuskan bahawa beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan bahawa Perkara 14A Perlembagaan Negeri adalah sah.

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.

Azizan juga memutuskan bahawa mahkamah tidak boleh memberikan injunksi terhadap DUN dan Speaker untuk menghalang mereka daripada membincangkan usul memohon ADUN mengosongkan kerusi mereka semasa persidangan DUN.

Beliau berkata mahkamah tidak boleh campur tangan dan tidak mempunyai kuasa terhadap pengurusan dalaman DUN. – Bernama