Perak beri insentif kepada Muhammad Azeem, Sheeren berjaya rangkul gangsa di Sukan Asia

KAMPAR: Kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak akan memberikan insentif kepada dua atlet negeri Muhammad Azeem Mohd Fahmi (gambar) dan Sheeren Samson Vallabouy kerana kejayaan merangkul pingat gangsa dalam acara olahraga pada temasya Sukan Asia Hangzou 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak Khairudin Abu Hanipah berkata jumlah insentif itu masih dalam perbincangan antara kerajaan negeri dan MSN Perak namun ia akan diberikan dalam masa terdekat.

“Saya ucapkan tahniah di atas kejayaan yang digapai oleh kedua-dua mereka dan seperti yang semua sedia maklum, ia bukan datang dengan mudah sebaliknya memerlukan pengorbanan yang besar.

“Berkaitan dengan insentif ini, sememangnya MSN ada kadar-kadar tertentu untuk pemberiannya bagi atlet negeri Perak yang berjaya dan cemerlang di persada antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Komputer Riba dan Program E-Kelas Melalui Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Maxis Berhad di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim Nawar di sini, hari ini.

Pada 30 Sept lalu, Muhammad Azeem, 19, yang diberi jolokan ‘Usain Bolt Malaysia’ berjaya menggondol pingat gangsa dalam acara pecut 100 meter dengan catatan 10.11 saat.

Shereen, 25, pula berjaya merangkul gangsa dalam acara 400 meter wanita dengan catatan 52.58 saat sekali gus menamatkan penantian 17 tahun negara untuk menuai pingat dalam kategori balapan.

Khairudin berkata semua pihak seharusnya memberi ruang dan peluang kepada kedua-dua atlet ini untuk terus melakar kejayaan tanpa sebarang gangguan yang mampu merencatkan persembahan mereka.

“Kedua-duanya masih muda dan kita kena bagi ruang dan peluang kepada mereka menimba pengalaman dan menjalani latihan dengan gigih agar lebih banyak kejayaan dapat diraih khususnya di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut mengharapkan kejayaan yang diraih oleh kedua-dua atlet ini dijadikan contoh kepada atlet lain untuk terus berusaha memperbaiki prestasi masing-masing. -Bernama