Pesuruhajaya Kanak-Kanak dilantik anggotai Suhakam: Anwar

PUTRAJAYA: Pesuruhjaya Kanak-Kanak dilantik menganggotai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berkuat kuasa serta-merta dalam usaha menangani masalah penderaan dan sosial melibatkan kanak-kanak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pelantikan pesuruhjaya itu merupakan satu cabang khas yang mempunyai autonomi di bawah Suhakam.

“Kita telah putuskan, maknanya kena wujud segera. Nama (pesuruhjaya) diumumkan tetapi saya minta supaya menteri berkenaan ataupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berikan secara cerakin,” kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet hari ini.

Sebelum ini, Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) memaklumkan kerajaan komited dalam penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak sebagai suatu badan bebas yang dapat memantau dan memelihara hak kanak-kanak di Malaysia.

Namun, penubuhan suruhanjaya itu memerlukan pandangan pelbagai pihak berkepentingan dan juga penggubalan suatu akta.

Sebagai penyelesaian jangka masa pendek, kerajaan berhasrat untuk mewujudkan pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah Suhakam, demikian menurut kenyataan Pejabat Menteri itu.

Sementara itu, Anwar berkata beliau telah meminta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya mempengerusikan jawatankuasa sosial bagi meneliti masalah berkaitan kanak-kanak serta isu di bawah bidang kuasa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata beliau telah mengesyorkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya terlibat dalam institusi badan antarabangsa iaitu The Global Operational Network of Anti-Corruption Law Enforcement Authorities (GlobE Network) dalam usaha memperkasakan badan penguat kuasa itu.

“Kita ingin angkat peranan SPRM ini, jadi kita anjurkan mereka terlibat dalam GloBE Network supaya pendedahan itu mendapat memperkuat urusan mereka,” kata beliau. – Bernama