Projek kondo, penduduk risau keselamatan

GEORGE TOWN: Sebuah projek pembinaan kondominium tinggi yang sedang dijalankan di sini menyebabkan penduduk berdekatan risau akan keselamatan mereka.

Seorang penduduk yang juga pengerusi komuniti D’Residence di Bayan Mutiara R.Sureswaran berkata lebih 30 buah rumah telah terjejas akibat projek tersebut, selain ia turut menjejaskan kualiti hidup mereka.

“Terdapat kesan serius pada cerucuk (piling) rumah dan terdapat tanah mendap di kawasan beberapa rumah berhampiran pembinaan itu

“Rekahan pada dinding adalah biasa, kepingan bumbung terjatuh biasa, malah rumah saya yang agak jauh (dari kawasan pembinaan) kepingan siling kapur (rumah saya) turut jatuh,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata penduduk juga risau akan keselamatan mereka ekoran terdapat kejadian kepingan besi dari kawasan pembinaan itu terjatuh di kediaman berdekatan.

Katanya, aliran air yang kurang baik di longkang projek tersebut turut menyebabkan peningkatan kes denggi dalam kalangan penduduk.

Jurucakap MCA Saw Yee Fung berkata kerajaan negeri perlu menyelesaikan masalah itu bagi memastikan keselamatan penduduk. -Bernama