PRU15: GPS serah pada Perdana Menteri: Abang Johari

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyerahkan soal bila Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu diadakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg (gambar) berkata perkara itu merupakan prerogatif Perdana Menteri.

“Pilihan Raya Umum adalah (perkara) kebangsaan yang melibatkan parlimen. Oleh itu, kita serahkan kepada Perdana Menteri (mengenai soal itu),” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Rumah Terbuka Gawai Dayak di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Semalam, dalam temu bual bersama akhbar Nikkei di Jepun, Ismail Sabri dilaporkan berkata sekarang bukan masa sesuai mengadakan PRU15 dalam keadaan negara berdepan pelbagai isu seperti kenaikan kos sara hidup dan kadar inflasi tinggi.

GPS merupakan gabungan yang dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), dan di peringkat parlimen, ia memiliki 18 kerusi. – Bernama