Subsidi M’sia dijangka cecah RM80 bilion tahun ini: Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR: Subsidi Malaysia dijangka mencecah RM80 bilion tahun ini, yang tertinggi dalam sejarah negara, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau yang memetik angka Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, tanpa subsidi inflasi negara boleh mencecah lebih daripada 12 peratus.

Berbanding negara-negara ASEAN lain seperti Indonesia dengan kadar inflasi pada (+4.9 peratus), Filipina (+6.4 peratus), Singapura (+7.0) dan Thailand (+7.6 peratus), kadar inflasi Malaysia dianggap rendah.

“Kadar inflasi Malaysia merupakan antara yang terendah di dunia, sebahagiannya disebabkan oleh pemberian subsidi kita yang tinggi,” katanya menerusi ciapan di laman Twitter beliau, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, kadar inflasi Malaysia ketika ini berada pada 2.8 peratus (Jan-Julai 2022), sejajar dengan sasaran Bank Negara Malaysia pada 2.2-3 2 peratus bagi 2022.

Banyak negara di seluruh dunia ketika ini mengalami tekanan inflasi disebabkan oleh kenaikan input pengeluaran dan harga tenaga. –Bernama