Tiga rakan didakwa edar dadah di Ipoh

IPOH: Tiga rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 119.7 kilogram (kg), bulan lepas.

G.Agilan, 37, seorang pemandu lori bersama-sama Rahisham Abdul Ghani, 35 dan Mohd Asrul Afandy Zulkfili, 32, kedua-duanya peniaga menjawab faham selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa secara bersama mengedar dadah itu di kawasan Lot 30633, Jalan Lahat, Simpang Pulai, Kampung Kepayang di sini kira-kira 11.20 pagi, pada 21 Mac lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan ketiga-tiga mereka boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, dijatuhkan hukuman sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Syahirah Azahar manakala tertuduh diwakili peguam Rajit Singh.

Mahkamah menetapkan 16 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes. – Bernama