Tuanku Muhriz perkenan rasmi Menara MAINS

SEREMBAN: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir hari ini berkenan merasmikan Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di sini.

Baginda tiba pada 11.15 pagi tadi di Menara MAINS diiringi Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Aminuddin dalam ucapannya berkata pembinaan menara MAINS ini melibatkan kos bernilai RM72.2 juta dan siap sepenuhnya pada tahun 2016.

“Ia mula diduduki pada tahun 2017 dan kini 90 peratus premis telah dihuni oleh pihak MAINS dan pelbagai agensi kerajaan dan swasta. Sudah pasti dengan adanya bangunan menara MAINS ini menjadikan suasana bekerja akan lebih kondusif untuk semua warga kerja,” katanya.

Beliau berkata selain memberikan keselesaan kepada pelanggan MAINS, bangunan baharu ini juga diharapkan dapat memberikan suntikan semangat lebih tinggi kepada warga kerja MAINS untuk melaksanakan tanggungjawab serta mempertingkatkan taraf kecekapan dan kualiti kerja mereka.

Katanya masyarakat boleh berurusan dengan pelbagai agensi di negeri ini di menara itu yang merupakan ‘pusat sehenti’ dalam mendapatkan pelbagai perkhidmatan.

Terdahulu Aminuddin ketika ditemui pemberita berkata kutipan zakat di negeri ini mencatatkan peningkatan tahun lepas iaitu sebanyak RM147.6 juta berbanding RM144 juta pada tahun 2020. – Bernama