Ucapan takziah buat keluarga mendiang Gopal Sri Ram mencurah-curah

KUALA LUMPUR: Ucapan takziah daripada kelompok pengamal undang-undang dan badan kehakiman muncul mencurah-curah susulan pemergian peguam terkemuka Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang disifatkan ramai dalam kalangan mereka sebagai pakar perundangan cemerlang atau dirujuk sebagai ‘legal eagle’.

Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun ketika dihubungi berkata negara kehilangan pakar perundangan dan pengamal undang-undang utama yang hebat.

“Saya mengenalinya secara peribadi sejak 1980 ketika saya menjadi Penolong Pendaftar Kanan. Saya dapati mendiang seorang yang sangat berbudi bahasa, merendah diri dan sentiasa bersedia untuk berkongsi ilmu pengetahuan mengenai undang-undang. Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dalam menempuh detik-detik yang sukar pada masa ini,” katanya.

Sementara itu Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata pemergian mendiang merupakan kehilangan yang amat besar kepada Badan Kehakiman Malaysia, dan juga keseluruhan kelompok perundangan negara.

Beliau berkata mendiang telah banyak berjasa kepada Badan Kehakiman Malaysia sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai hakim di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

“Mendiang merupakan Hakim Mahkamah Rayuan selama 15 tahun bermula daripada penubuhan Mahkamah Rayuan pada 1994 sehingga dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan pada 2009. Sesungguhnya pemergian mendiang merupakan satu kehilangan yang amat dirasai oleh seluruh warga kehakiman khasnya, dan negara amnya,” katanya dalam kenyataan media.

Tengku Maimun yang mewakili badan kehakiman dan seluruh warga kerjanya mengucapkan takziah kepada seluruh anggota keluarga Sri Ram di atas pemergian mendiang.

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang turut bersedih dengan pemergian Sri Ram berkata, mendiang telah memberikan sumbangan yang ketara kepada perundangan Malaysia seperti yang terbukti dalam banyak penghakimannya.

“Saya mengenalinya sejak saya menjadi Majistret di Bukit Mahkamah. Hubungan saya dengannya sentiasa mesra dan ini berterusan walaupun selepas bersara. Pemergiannya pastinya satu kehilangan besar kepada profesion guaman.

“Saya pasti akan merasakan kehilangan saudara saya Hakim Gopal Sri Ram. Saya ingin mengucapkan takziah kepada isteri dan anak-anaknya. Semoga beliau bersemadi dengan tenang,” katanya.

Sementara itu seorang lagi bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi dalam pesanan ringkas berkata, Sri Ram adalah hakim yang hebat, dan peguam yang mengagumkan ketika di mahkamah.

Peguam jenayah Datuk V. Sithambaram pula menyifatkan Sri Ram sebagai ‘legal’s eagle’ kerana bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu mahir dalam kedua-dua kes sivil dan jenayah.

“Beliau tidak lokek berkongsi ilmu dengan peguam muda. Beliau juga pernah mengendalikan beberapa kes tanpa sebarang bayaran. Pemergiannya adalah satu kehilangan besar kepada negara dan badan perundangan,” kata peguam itu.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata mendiang Sri Ram adalah seorang peguam yang penuh dengan kejutan, di samping mempunyai ingatan yang luar biasa mengenai undang-undang dan sejarah.

“ Apa yang paling saya suka mengenai mendiang ialah idea-ideanya yang tidak pernah lapuk, sentiasa terus mendalami ilmu dan sering menerapkan idea-idea baharu. Takziah kepada keluarga mendiang, dan mereka yang dekat dengannya. Kita pasti akan merindui telatah beliau di mahkamah.

“Saya mengenalinya ketika mendiang seorang pengamal undang-undang muda yang bersemangat dan saya adalah timbalan pendakwa raya baharu pada tahun 1977. Kami sering berada di pihak bertentangan, tidak sehaluan di mahkamah sejak dari awal, sering bertembung dalam banyak kes-kes jenayah dan sivil yang hebat.

Seorang lagi peguam Datuk Dr Baljit Singh Sindhu yang menyifatkan mendiang Sri Ram sebagai seorang peguam dan hakim yang hebat berkata, dedikasi dan keyakinan mendiang yang menakjubkan terhadap perundangan undang-undang sememangnya tidak boleh dipertikaikan lagi.

“Kadang-kadang sangat agresif, begitulah sifatnya. Semoga rohnya dicucuri rahmat,” katanya.

Sri Ram meninggal dunia hari ini pada usia 79 tahun di sebuah hospital swasta di sini, selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) minggu lepas kerana jangkitan paru-paru.

Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes rasuah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mendiang juga merupakan timbalan pendakwa raya kanan dalam kes rasuah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor yang melibatkan projek hibrid solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan pengubahan wang. – Bernama