Wartawan Rusia terbunuh, Putin ucap takziah

MOSCOW: Presiden Rusia Vladimir Putin(gambar) mengucapkan takziah kepada ibu bapa Darya Dugina, wartawan yang terbunuh selepas keretanya meletup di pinggir Moscow pada Sabtu.

“Takziah diucapkan atas kehilangan yang amat memilukan ini yang telah menimpa anda,” kata Putin menerusi Telegram, lapor Agensi Anadolu (AA).

Presiden Rusia turut menyelar tindakan jenayah itu yang disifatkan “keji dan kejam” sambil menggambarkan Darya Dugina sebagai “seorang yang cerdas dan berbakat serta memiliki semangat jati Rusia.”

“Seorang wartawan, saintis, ahli falsafah, koresponden perang, beliau jujur ​​berkhidmat kepada tanah air, bukti seorang patriot Rusia.

“Kenangan tentang Darya Dugina akan terus tersemat dalam ingatan sanak saudara, sahabat handai, rakan sekerja dan mereka yang mempunyai pemikiran yang sama dengannya,“ kata Putin, sambil berharap ibu bapanya diberi kekuatan serta ketabahan.

Putin kemudian menandatangani dekri untuk menganugerahi Dugina dengan Anugerah Order of Courage sebagai menghargai keberanian dan dedikasinya sepanjang bertugas.

Dugina, 29, anak perempuan ahli sosiologi dan ahli falsafah Rusia, Aleksandr Dugin, yang mengetuai Pergerakan Eurasia Antarabangsa, sebuah gerakan politik yang menentang liberalisme dan kapitalisme.

Dugin tersenarai antara “100 Pemikir Global Dunia Moden” oleh majalah Foreign Policy pada 2014.

Beliau disenarai hitam oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah kerana menyokong dasar Putin.-Bernama