Kakitangan MPPD mengaku tidak bersalah terima rasuah

SEREMBAN: Empat kakitangan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada peniaga antara 2017 hingga 2020.

Kesemua tertuduh ialah Pembantu Penguatkuasa Azman Halidan, 55, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Khairil Rizal Mahtar, 45, dan dua Pembantu Kesihatan Awam iaitu Arfizi Mustafa, 38, dan Mohd Azmi Mohd Hashim, 41.

Mengikut pertuduhan, Azman berdepan dua pertuduhan meminta dan menerima suapan masing-masing RM400 dan RM300 daripada dua peniaga sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang kerana tidak memiliki lesen penjaja bergerak yang sah di Pasar Pagi Lukut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bahagian Penguatkuasaan Pejabat MPPD dan Kampung Sri Parit, Lukut pada pertengahan Oktober 2017 dan awal Ogos 2020.

Khairil Rizal pula didakwa meminta suapan berjumlah RM1,000 daripada pemilik kedai cuci kereta sebagai dorongan mendapatkan sokongan daripada MPPD bagi mendapatkan lesen perniagaan kedai itu yang dilakukan antara Julai hingga November 2018.

Perbuatan sama turut dilakukan Mohd Azmi pada 15 Feb 2020 di Pasar Malam Lukut, didakwa meminta wang suapan berjumlah RM1,800 daripada seorang peniaga jambu.

Selain itu, Arfizi yang didakwa dengan dua pertuduhan meminta wang suapan masing-masing RM500 terhadap peniaga sama, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap lelaki terbabit kerana berniaga tanpa lesen pasar malam yang sah di sebuah bank di Port Dickson pada 10 Mac dan 5 Sept 2020, antara 7 dan 5 petang.

Pendakwaan terhadap keempat-keempat tertuduh dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Hakim Rushan Lutfi Mohamed membenarkan Mohd Azmi dan Khairil Rizal diikat jamin RM8,000 setiap seorang manakala Azman dan Arfizi masing-masing RM10,000 beserta syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Port Dickson sebulan sekali sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa raya SPRM Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali dan tarikh sebutan semula ditetapkan pada 29 Mac dan 31 Mac bagi serahan dokumen. – Bernama