M’sia harap isu operasi Mahan Air ke KL diselesaikan segera: PM

KUALA LUMPUR: Malaysia berharap isu pemberhentian operasi Mahan Air ke Kuala Lumpur sejak 13 Ogos lepas berikutan isu teknikal melibatkan pengisian bahan api di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dapat diselesaikan segera.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau juga berharap Mahan Air yang berpangkalan di Iran dapat meneruskan operasinya ke KLIA secepat mungkin.

Beliau berkata perkara itu dibincangkan bersama Presiden Iran Seyyed Ebrahim Raisi hari ini ketika menerima panggilan telefon daripadanya.

Mahan Air mula beroperasi pada 1992 dan merupakan syarikat penerbangan swasta pertama di negara Asia Barat itu.

“Dalam perbualan kami, Presiden Raisi turut mengucapkan tahniah sempena Hari Kebangsaan Malaysia yang akan disambut esok.

Antara perkara yang telah dibincangkan adalah hubungan dua hala Malaysia dan Iran serta isu lain yang melibatkan kepentingan umat Islam,“ katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau, malam ini.

Dari segi hubungan dua hala, Ismail Sabri berkata Malaysia amat berpuas hati dengan keakraban hubungan antara kedua-dua negara yang terjalin sejak 1968 dan Malaysia akan terus komited dalam meneruskan momentum pengukuhan hubungan dua hala dengan Iran.

Pada 2021, Iran adalah rakan dagang ketujuh besar Malaysia di Asia Barat, dengan jumlah dagangan dua hala pada tahun itu bernilai RM2.63 billion (US$0.64 billion), peningkatan sebanyak 68.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.-Bernama